Thursday, 17 May 2012

Kegemilangan Dan Kejatuhan Tamadun Turki Uthmaniah

Kerajaan Turki Uthmaniyyah telah mencapai kemuncak kegemilangannya di era pemerintahan Sultan Suleyman I (1520 – 1566). Ketika itu pemerintahan Uthmaniyyah mencakupi kawasan sejauh Eropah Tengah ke Lautan Hindi dan ia dianggap sebagai kuasa terbesar dunia. Di dalam sebuah manuskrip bertarikh 1538, Sultan Suleyman I telah meluahkan pandangannya terhadap penguasaan beliau kepada kuasa dunia:

“Beta adalah hamba Allah dan Sultan kepada dunia ini. Dengan limpah kurniaan Allah, beta menjadi ketua umat Muhammad. Kekuasaan Allah dan mukjizat Rasulullah menjadi teman beta. Beta adalah Süleyman, yang namanya dibacakan di dalam Khutbah di Makkah dan Madinah. Di Baghdad beta adalah Shah. Di tanah Byzantine, beta adalah Caesar. Di Mesir pula beta adalah Sultan; yang menghantar armada tenteranya ke perairan Eropah, Maghribi dan India. Beta adalah Sultan yang merampas mahkota dan takhta Hungary, untuk diberikan kepada hamba yang tunduk. Voivoda Petru cuba mengangkat kepalanya untuk menentangku, tetapi telapak kaki kudaku telah memijaknya tenggelam menjadi debu. Beta jugalah yang telah menawan tanah Moldavia”.

Walau bagaimana pun, selepas berlakunya peperangan yang berterusan, kesatuan yang berlaku di antara kuasa-kuasa Eropah, pengkhianatan kerajaan Safavid Syiah di Iran dan pelbagai lagi faktor, keperkasaan Uthmaniyyah mula merintis graf menurun.

Punca Kemerosotan Turki Uthmaniyyah

Sebab-sebab yang membawa kepada kemerosotan dan kejatuhan Uthmaniyyah adalah pelbagai, namun semuanya terangkum di dalam satu kenyataan iaitu, “menjauhkan diri dari kepatuhan kepada Syariat Allah dan menghukum dengannya”. Ia dapat dilihat di pelbagai sudut seperti sosial, politik, ekonomi dan sebagainya.

Hal inilah yang mengundang musibah sebagaimana yang telah pun diperingatkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

“Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahNya, beringat serta berjaga-jaga supaya jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (An-Noor 24: 63)

Kelakuan-kelakuan yang menyimpang oleh Sultan-sultan Othmaniyyah di akhir usia pemerintahan, telah memberikan impak yang negatif kepada umat Islam. Kehidupan mereka yang tenggelam di dalam arus materialisma dan Jahiliah telah menjadikan diri dan masyarakat hidup dalam keresahan, celaru dan hilang jati diri.

Hal ini berlaku seiringan dengan kebangkitan musuh Othmaniyyah, sama ada di Barat, mahu pun Timur seperti kerajaan Safavid Syiah di Iran. Pada tahun 1599, Shah Abbâs dari Iran telah menghantar dutanya ke Eropah dan membuka kepada perbincangan ketenteraan dan ekonomi ke arah menekan Othmaniyyah secara langsung. Di Vienna, hasrat ini disambut oleh Maharaja dengan baik. Beliau menyatakan keinginan untuk membentuk suatu gagasan anti-Othmaniyyah bersama Russia dan Georgia di Timur, dan dalam masa yang sama akan bekerja keras ke arah menyatukan Raja-raja Kristian di Eropah di dalam satu Perang Salib yang bakal dilancarkan.

1603, perang besar-besaran dilancarkan dan tekanan serentak Timur dan Barat telah membinasakan Othmaniyyah. Bebanan Austria dan Parsi ini telah menjadi sumber luar yang utama kepada ketidakstabilan Othmaniyyah pada era tersebut.

Akan tetapi amat menarik untuk kita meneliti, apakah perbalahan tentang isu yang cuba diketengahkan oleh seminar ini pernah berlaku di era Othmaniyyah. Pernahkan masyarakat Othmaniyyah ‘diganggu’ oleh pertembungan pandangan di antara Salaf dan Khalaf? Seandainya ya, apakah pelajaran yang boleh kita pelajari daripadanya?

2 comments: